THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, December 25, 2011

sahabat

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

              Ya Allah…
            Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

            Ya Allah…
            Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

            Ya Allah…
            Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

            Ya Allah…
            Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

            Ya Allah…
            Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

            Ya Allah…
            Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

            Ya Allah…
            Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

            Ya Allah…
            Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi  hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

            Ya Allah…
            Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

            Ya Allah…
            Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

            Ya Allah…
            Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.


Sunday, June 26, 2011

Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan

"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?

Ingat..

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979

Tuesday, May 3, 2011

Alkisah Sang Raja Berlawak Mengundang Bala Sang Pencipta

Apabila dosa sudah 'dumurnikan', bersiap siaga menunggu bala yang bakal menimpa.....Allah...


Tergerak untuk menonton rancangan lawak melawak yang tengah hangat sekarang ni. Tidak dinafikan, tergelak juga la sekali dua.


Melihat dengan nafsu, tergelak tak ingat neraka.


Melihat dengan hati, tak mampu pun untuk tersenyum. 


Hati mula berfikir, betapa pentas itu pentas maksiat. Pentas yang dilaknat. Bukan kerana material pentas itu. Tapi kerana gelagat manusia yang memenuhi pentas itu. 


Apabila nama Allah menjadi bahan gurauan, ianya tidak lagi kelakar. Mempersenda tuhan agama lain sudah dilarang keras, apatah lagi Tuhan sendiri. Tuhan yang Maha Esa.


"Sesungguhnya mereka yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dah apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Rabb lah mereka bertawakkal."

(al-Anfal, ayat 2)

Bukan calang-calang ciri hati yang beriman. Hati mereka bergetar. Laksana bergetar hati pencuri mendengar nama polis. Seperti bergetar hati rusa melihat serigala.Bahkan lebih hebat daripada gentaran itu.

Nama Allah bukan untuk dijadikan bahan gurauan. Apatah lagi dikaitkan dengan lawak dosa mencuri. Mencuri tabung surau. Sambil bersongkok dan berkopiah. Bodohlah diri ini yang gelak. Subhanallah.

Dahulu kecoh seketika, sebuah sitkom dilakonkan lelaki lagak wanita. Tak kalah dengan rambut palsunya, liuk lentok badannya. Lagi tebal solekannya, lagi kelakar. Bising seketika kerana ketika itu masyarakat masih sedar bahana mempersenda amaran Nabi.

Kini kita sudah mula kelabu. Kita sebagai penonton sudah mula jadi dungu. Menadah semua yang dipapar, seperti lupa ada Kuasa yang memerhati. Ada pencatat di kanan kiri. 

"Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan."
 (Bukhari dan Muslim)

"Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." 
(Abu Daud dan Al-Hakim)

Kita gelak melihat manusia mengundang kutukan Allah.

Terbahak-bahak ketawa menanti laknat Allah.

Berlawak jenaka itu tidak salah. Ianya menjadi salah apabila melanggar syariat. Apabila soal agama bakul sampahkan. 

Dimana pihak berkuasa? Dimana badan-badan agama? Dimana peranan kita? Sibuk bergaduh isu video seks, sibuk berdebat syiah dan sunni, bertelingkah isu wahabi tak sudah-sudah. Jadi buta maksiat dihidang depan mata. 
Jangan sampai ditimpa bala baru nak 'postmortem'!

Bukan tak bersebab seorang juri menarik diri, apabila iman sudah menjengah hati. 

Ianya bukan isu 'penerimaan' bahan gurauan.


bukan isu 'tak open minded'


bukan isu dengki.


Ianya melibatkan laknat tuhan. laknat bukan sebarang laknat.


p/s: tiada gambar diletak, kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Untuk lebih dalil dan hukum,blog ini agak membantu.

Makin Dekat Makin Sakit

Dia menguis-nguis kakinya ke pasir. Bagai siaran ulang tayang, entah kali ke berapa aku lihat dia berteleku begitu. Aku mendekati. Ismail Bin Ibrahim juga suatu ketika dulu pernah menguis-nguis kakinya ke tanah. Lalu keluar air mata air, tapi di bawah tapak kaki dia, aku lihat tiada apa-apa. Tiada air mata air tapi di pipinya, ada air mata yang jernih mengalir. Dia menangis.

"Oits!" Aku menyapa. Dia cepat-cepat menyapu air mata. Menoleh ke arahku lalu mengukir sebuah senyuman. Dia selalu begitu, suka menyembunyikan dukanya di balik senyuman.

"Apa oits oits! Sejak bila tak reti bagi salam?" Dia mencengilkan matanya sambil jarinya mencubit pehaku. Aku cuba mengelak namun terlambat. Sudahnya aku mengaduh sendirian seraya mengusap bekas cubitan, biar cepat hilang rasa sakitnya.

"Aku nampak kau menangis. Boleh aku tahu kenapa?" Tanpa berdalih, aku bertanya. Dia kembali diam. Senyuman di bibirnya yang dibuat-buat hilang serta-merta. Dia menggeleng-gelengkan kepala, namun aku tahu, dia tahu bahawa dia tidak mampu menipu aku. Dia kembali tunduk ke bawah, menyambung kerja menguis pasir dengan hujung jari kakinya.

"Entahlah. Aku pun tidak tahu mahu kata bagaimana. Tapi dadaku terasa sempit, hatiku bagai tersiat-siat. Seksa. Sakit. Dan aku pun tak tahu mengapa. Makin lama makin sakit." Begitu dia meluahkan tanpa memandang sekilas pun ke arahku. Aku masih tekun mendengar. Menanti dia menyambung kata-katanya namun hampa. Dia membisu.

"Apa kau tidak bahagia dengan hidup kau sekarang?" Aku kembali bertanya setelah kami sepi seketika. Dia cuma mengangkat bahu. Tidak tahu mahu menjawab apa. Beberapa detik kemudiannya dia menganggukkan kepalanya.

"Ya. Hidup aku dulu lebih bahagia. Berseronok, punyai banyak teman. Ke sana-sini berhibur. Ramai orang gila-gilakan aku. Aku dipuja, disanjung. Tapi kini, aku hidup sendirian. Tiada siapa kecuali engkau." Suaranya lirih. Bagai meluahkan segala nanah yang terperap dan membusuk di dada. Pengakuan jujurnya ikhlas dari hati, aku tahu itu dan ia membuatkan aku tersentak.

"Istighfar. Hidayah milik Allah. Dia beri kepada siapa yang Dia mahu. Kau patut bersyukur kerana kau antara insan yang terpilih, untuk menikmati indahnya nur Allah. Bukan semua orang diberi peluang yang sama. Ramai yang sesat terus hanyut. Tak kurangnya yang mati dalam kehinaan. Apa kau sanggup dihumban ke neraka? Apa kau ingin kesudahan hidupmu kelak bersama mereka yang dibenci Allah? Beristigfar." Lagak iman muda, aku menyusun kata. Biar padat, biar terus melekat kejap ke dasar kalbunya. Aku tidak mahu dia kembali hanyut. Aku cinta dia.

Bahunya terhinjut-hinjut. Aku tahu dia menangis lagi. Aku biarkan saja dia meluahkan rasa hatinya. Andai itu yang mampu membuatkan jiwanya tenang. Menangislah.

"Aku pun tidak tahu mengapa, makin kuat aku mencuba mendekati Allah, makin hebat ujian yang menimpa aku. Makin sakit yang aku rasakan. Apakah Allah tidak sayangkan aku?" Dalam esakan, dia mengucapkan kalimah itu. Aku tidak silap dengar. Memang itu yang dia lafazkan.

"Allah sudah berfirman, Dia beri ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Jadi kau harus yakin bahawa kau mampu menghadapinya. Allah juga berfirman, hamba-Nya tidak akan masuk syurga selagi tidak diuji, jadi berbahagialah, ujian ini mungkin kunci untukmu ke syurga. Allah juga berfirman, berulang kali, sesudah kesulitan, ada kemudahan. Bertenanglah, sakit bukan selamanya. Derita bukan selamanya. Andai doamu tidak dimakbulkan Tuhan, ketahuilah bahawasanya bukan Dia mengendahkanmu, tapi mungkin kerana Dia merindui rintihanmu, mahu kau lebih dekat dengan-Nya. Berbahagialah, andai tidak esok atau lusa doamu termakbulkan, mungkin di akhirat sana tempat kau mengutip segala nikmat-Nya. Kau tidak pernah sendirian, Allah sentiasa ada bersamamu. Dia sentiasa menyayangimu, lebih daripada aku mencintaimu." Penuh keyakinan, aku melontarkan bait-bait kata itu, biar menikam tangkai hatinya, biar terpahat kukuh. Biar berpadu kemas di ingatannya, agar dia tidak akan lupa sampai bila-bila.

Sepi lagi. Aku dan dia masing-masing membisu.

Dia mengangkat wajah, melontarkan pandangannya membelah lautan. Jauh tidak bertepian.

"Benarkah Allah sayangkan aku? Sedangkan aku hamba-Nya yang telah banyak melakukan dosa? Sering melupakan dia?" Soalan itu diajukan kepadaku. Aku sekadar angguk.

"Benar, asalkan kau kembali pada-Nya dengan hati yang suci, ikhlas dan taubat yang sungguh-sungguh. Jangan ragu, jangan goyah. Dia yang menciptakanmu, mana mungkin Dia tidak mencintaimu. Bertaubatlah, dan teruslah teguh di jalan taubatmu. Kemanisan iman dan kenikmatan bercinta dengan-Nya, itulah sebenar-benar kebahagiaan. " Aku menyambung sambil menghadiahkannya sekuntum senyuman tanda kasih.

Dia bingkas, berdiri. Bagai ada tenaga baru meresap ke tubuhnya. Dia kelihatan penuh bersemangat. Wajahnya berseri-seri.

"Aku sayang Allah, Allah sayang aku. Terima kasih Allah, untuk segala-galanya." Jeritnya ke arah lautan luas, bagai memberitahu seluruh alam betapa cintanya dia kepada Sang Pencipta.

Sunday, April 17, 2011

Bantulah Aku

Ya Allah....
Bantulah aku untuk terus memperbaiki ibadah ku kepada Mu...
Bantulah aku untuk terus mensyukuri segala nikmat Mu...
Bantulah aku untuk terus mengingati Mu...

Ya Allah...
Redhailah aku...
Keredhaan Mu yang aku dambakan dalam kehidupanku...
Bekalkanlah aku dengan limpahan iman...
Bekalkanlah aku dengan limpahan takwa...
Bekalkanlah aku dengan sifat sabar...
Bekalkanlah aku dengan semangat dan kekuatan untuk terus beribadah kepada Mu...

Ya Allah...
Ampunkanlah aku...
Andai banyak langkah yang tersasar sepanjang bertambahnya usia ku....
Ampunkanlah aku...
Kiranya secara tanpa sedar aku membelakangkan Mu....
Ampunkanlah aku....
Ampunkanlah aku....
Ampunkanlah aku Ya Allah....

Ya Allah....

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku...
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu...
Moga ku tahur syukur ku adalah milikmu....

Ampunkanlah aku Ya Allah...
Redhailah aku Ya Allah....

BANTULAH AKU YA ALLAH....
UNTUK AKU MENGENAL DIRI PADA LANDASAN YANG BENAR...
AKU MOHON KEKUATANMU....
BANTULAH AKU YA ALLAH....

Saturday, April 16, 2011

apakah harga sebuah pernikahan

"Ya Allah...
Indahnya aturanmu...
Engkau keluarkan kami dari kemurungan dengan memberikan ikatan pernikahan...
Yang peliknya...
Bila dah bosan bila dah jemu....
Kita sendiri yang menghancurkan pernikahan...
Apa harganya sebuah perkahwinan...
Adakah talak yang mengegarkan arasy...
Seolah-olah cinta, kesukaan, kegembiraan, kesakitan yang dirasai bersama...
Tiada pernah ada nilai sedikit pun...
Bukan sedikit deraian air mata seorang isteri...
Yang mendengar suaminya mengungkapkan...
Mengahwini mu merupakan satu kesilapan...
Mana perginya contoh...
Mana perginya contoh rumah tangga nabawi...
Adakah ianya semata-mata datang daripada syurga...
Tidak...
Ianya datang dari ungkapan syair-syair yang indah...
Dari bibir Saidatina Aisyah memuji-muji suaminya...
Ianya juga datang dari belaian kasih mesra dan manja...
Seorang suami iaitu junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w terhadap isterinya..."

Aku memang masih belum berkahwin. Masih jauh untuk aku melangkah ke arah itu. Namun, aku khuatir. Melihatkan sahabatku yang baru berkahwin, bahkan aku kira masih di ambang manisnya bulan madu, sudah mula bertelagah. Sudah mula mahukan kebebasan atau dalam erti kata yang lain mereka menginginkan perpisahan dan perceraian.

Tidak ingatkah kalian, di saat kalian berdua bermadu kasih. Di saat kalian berjanji mahu sehidup semati. Di saat kalian merancang masa depan bersama. Kenapa begitu mudah kalian lupakan saat dan detik itu. Mengapa begitu senang kalian mengambil keputusan untuk berpisah. Mana pergi dan hilangnya semua janji-janji kalian.

Aku kira, kalian perlu fikir dahulu sebelum melakukan sebarang keputusan. Boleh jadi, kalian tidak berpuas hati dengan pasangan kalian. Baik, fizikal, sikap mahupun tingkah laku. Tapi satu yang kalian perlu tahu. Sungguh, apa yang Allah berikan buat kita semua adalah yang terbaik. Apakah pantas untuk kalian tidak berpuas hati dengan apa yang Allah titipkan buat kalian.  Ingatlah, itu yang terbaik. Boleh jadi pasangan kalian bukan yang terbaik didunia, namun ketahuilah, pasangan kalian adalah yang TERBAIK untuk kalian DARI ALLAH. Percayalah. Hidup berumah tangga adalah untuk kalian saling melengkapi bukan untuk kalian menginginkan yang sempurna. Kefahaman dan keserasian itu perlu untuk diwujudkan.

Aku tidak tahu siapa jodoh yang Allah akan hantarkan untuk aku. Namun bagiku, aku kira rumah tangga yang bakal aku bina kelak merupakan gelanggan untuk aku dan suamiku mencari redha Allah. Baitul muslim ku kelak adalah wasilah untuk aku meniti syurga dunia mahupun syurga yang abadi. Aku selalu berdoa agar aku mampu menjadi isteri yang mampu taat dan penyejuk mata suamiku.

Mungkin kalian akan berpendapat mudah untuk aku berkata-kata sedangkan aku belum berumah tangga. Tapi ketahuilah wahai sahabatku yang sudah berumah tangga. Semua orang pasti menginginkan semua rumah tangga yang baik dan bahagia serta diredhai dan dirahmati Allah.

Aku minta agar kalian fikirkanlah masa depan kalian. Ingatlah isteri, syurgamu di bawah telapak kaki suami mu. Ingatlah sang suami, isterimu itulah tiang seri sandaran perjuanganmu dunia dan akhirat. Aku pohon. Sayangilah rumah tangga kalian. Selamatkanlah selagi termampu. Kerana itulah yang TERBAIK dari Allah.

Wallahualam