THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979

Tuesday, May 3, 2011

Alkisah Sang Raja Berlawak Mengundang Bala Sang Pencipta

Apabila dosa sudah 'dumurnikan', bersiap siaga menunggu bala yang bakal menimpa.....Allah...


Tergerak untuk menonton rancangan lawak melawak yang tengah hangat sekarang ni. Tidak dinafikan, tergelak juga la sekali dua.


Melihat dengan nafsu, tergelak tak ingat neraka.


Melihat dengan hati, tak mampu pun untuk tersenyum. 


Hati mula berfikir, betapa pentas itu pentas maksiat. Pentas yang dilaknat. Bukan kerana material pentas itu. Tapi kerana gelagat manusia yang memenuhi pentas itu. 


Apabila nama Allah menjadi bahan gurauan, ianya tidak lagi kelakar. Mempersenda tuhan agama lain sudah dilarang keras, apatah lagi Tuhan sendiri. Tuhan yang Maha Esa.


"Sesungguhnya mereka yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dah apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Rabb lah mereka bertawakkal."

(al-Anfal, ayat 2)

Bukan calang-calang ciri hati yang beriman. Hati mereka bergetar. Laksana bergetar hati pencuri mendengar nama polis. Seperti bergetar hati rusa melihat serigala.Bahkan lebih hebat daripada gentaran itu.

Nama Allah bukan untuk dijadikan bahan gurauan. Apatah lagi dikaitkan dengan lawak dosa mencuri. Mencuri tabung surau. Sambil bersongkok dan berkopiah. Bodohlah diri ini yang gelak. Subhanallah.

Dahulu kecoh seketika, sebuah sitkom dilakonkan lelaki lagak wanita. Tak kalah dengan rambut palsunya, liuk lentok badannya. Lagi tebal solekannya, lagi kelakar. Bising seketika kerana ketika itu masyarakat masih sedar bahana mempersenda amaran Nabi.

Kini kita sudah mula kelabu. Kita sebagai penonton sudah mula jadi dungu. Menadah semua yang dipapar, seperti lupa ada Kuasa yang memerhati. Ada pencatat di kanan kiri. 

"Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan."
 (Bukhari dan Muslim)

"Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." 
(Abu Daud dan Al-Hakim)

Kita gelak melihat manusia mengundang kutukan Allah.

Terbahak-bahak ketawa menanti laknat Allah.

Berlawak jenaka itu tidak salah. Ianya menjadi salah apabila melanggar syariat. Apabila soal agama bakul sampahkan. 

Dimana pihak berkuasa? Dimana badan-badan agama? Dimana peranan kita? Sibuk bergaduh isu video seks, sibuk berdebat syiah dan sunni, bertelingkah isu wahabi tak sudah-sudah. Jadi buta maksiat dihidang depan mata. 
Jangan sampai ditimpa bala baru nak 'postmortem'!

Bukan tak bersebab seorang juri menarik diri, apabila iman sudah menjengah hati. 

Ianya bukan isu 'penerimaan' bahan gurauan.


bukan isu 'tak open minded'


bukan isu dengki.


Ianya melibatkan laknat tuhan. laknat bukan sebarang laknat.


p/s: tiada gambar diletak, kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Untuk lebih dalil dan hukum,blog ini agak membantu.

Makin Dekat Makin Sakit

Dia menguis-nguis kakinya ke pasir. Bagai siaran ulang tayang, entah kali ke berapa aku lihat dia berteleku begitu. Aku mendekati. Ismail Bin Ibrahim juga suatu ketika dulu pernah menguis-nguis kakinya ke tanah. Lalu keluar air mata air, tapi di bawah tapak kaki dia, aku lihat tiada apa-apa. Tiada air mata air tapi di pipinya, ada air mata yang jernih mengalir. Dia menangis.

"Oits!" Aku menyapa. Dia cepat-cepat menyapu air mata. Menoleh ke arahku lalu mengukir sebuah senyuman. Dia selalu begitu, suka menyembunyikan dukanya di balik senyuman.

"Apa oits oits! Sejak bila tak reti bagi salam?" Dia mencengilkan matanya sambil jarinya mencubit pehaku. Aku cuba mengelak namun terlambat. Sudahnya aku mengaduh sendirian seraya mengusap bekas cubitan, biar cepat hilang rasa sakitnya.

"Aku nampak kau menangis. Boleh aku tahu kenapa?" Tanpa berdalih, aku bertanya. Dia kembali diam. Senyuman di bibirnya yang dibuat-buat hilang serta-merta. Dia menggeleng-gelengkan kepala, namun aku tahu, dia tahu bahawa dia tidak mampu menipu aku. Dia kembali tunduk ke bawah, menyambung kerja menguis pasir dengan hujung jari kakinya.

"Entahlah. Aku pun tidak tahu mahu kata bagaimana. Tapi dadaku terasa sempit, hatiku bagai tersiat-siat. Seksa. Sakit. Dan aku pun tak tahu mengapa. Makin lama makin sakit." Begitu dia meluahkan tanpa memandang sekilas pun ke arahku. Aku masih tekun mendengar. Menanti dia menyambung kata-katanya namun hampa. Dia membisu.

"Apa kau tidak bahagia dengan hidup kau sekarang?" Aku kembali bertanya setelah kami sepi seketika. Dia cuma mengangkat bahu. Tidak tahu mahu menjawab apa. Beberapa detik kemudiannya dia menganggukkan kepalanya.

"Ya. Hidup aku dulu lebih bahagia. Berseronok, punyai banyak teman. Ke sana-sini berhibur. Ramai orang gila-gilakan aku. Aku dipuja, disanjung. Tapi kini, aku hidup sendirian. Tiada siapa kecuali engkau." Suaranya lirih. Bagai meluahkan segala nanah yang terperap dan membusuk di dada. Pengakuan jujurnya ikhlas dari hati, aku tahu itu dan ia membuatkan aku tersentak.

"Istighfar. Hidayah milik Allah. Dia beri kepada siapa yang Dia mahu. Kau patut bersyukur kerana kau antara insan yang terpilih, untuk menikmati indahnya nur Allah. Bukan semua orang diberi peluang yang sama. Ramai yang sesat terus hanyut. Tak kurangnya yang mati dalam kehinaan. Apa kau sanggup dihumban ke neraka? Apa kau ingin kesudahan hidupmu kelak bersama mereka yang dibenci Allah? Beristigfar." Lagak iman muda, aku menyusun kata. Biar padat, biar terus melekat kejap ke dasar kalbunya. Aku tidak mahu dia kembali hanyut. Aku cinta dia.

Bahunya terhinjut-hinjut. Aku tahu dia menangis lagi. Aku biarkan saja dia meluahkan rasa hatinya. Andai itu yang mampu membuatkan jiwanya tenang. Menangislah.

"Aku pun tidak tahu mengapa, makin kuat aku mencuba mendekati Allah, makin hebat ujian yang menimpa aku. Makin sakit yang aku rasakan. Apakah Allah tidak sayangkan aku?" Dalam esakan, dia mengucapkan kalimah itu. Aku tidak silap dengar. Memang itu yang dia lafazkan.

"Allah sudah berfirman, Dia beri ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Jadi kau harus yakin bahawa kau mampu menghadapinya. Allah juga berfirman, hamba-Nya tidak akan masuk syurga selagi tidak diuji, jadi berbahagialah, ujian ini mungkin kunci untukmu ke syurga. Allah juga berfirman, berulang kali, sesudah kesulitan, ada kemudahan. Bertenanglah, sakit bukan selamanya. Derita bukan selamanya. Andai doamu tidak dimakbulkan Tuhan, ketahuilah bahawasanya bukan Dia mengendahkanmu, tapi mungkin kerana Dia merindui rintihanmu, mahu kau lebih dekat dengan-Nya. Berbahagialah, andai tidak esok atau lusa doamu termakbulkan, mungkin di akhirat sana tempat kau mengutip segala nikmat-Nya. Kau tidak pernah sendirian, Allah sentiasa ada bersamamu. Dia sentiasa menyayangimu, lebih daripada aku mencintaimu." Penuh keyakinan, aku melontarkan bait-bait kata itu, biar menikam tangkai hatinya, biar terpahat kukuh. Biar berpadu kemas di ingatannya, agar dia tidak akan lupa sampai bila-bila.

Sepi lagi. Aku dan dia masing-masing membisu.

Dia mengangkat wajah, melontarkan pandangannya membelah lautan. Jauh tidak bertepian.

"Benarkah Allah sayangkan aku? Sedangkan aku hamba-Nya yang telah banyak melakukan dosa? Sering melupakan dia?" Soalan itu diajukan kepadaku. Aku sekadar angguk.

"Benar, asalkan kau kembali pada-Nya dengan hati yang suci, ikhlas dan taubat yang sungguh-sungguh. Jangan ragu, jangan goyah. Dia yang menciptakanmu, mana mungkin Dia tidak mencintaimu. Bertaubatlah, dan teruslah teguh di jalan taubatmu. Kemanisan iman dan kenikmatan bercinta dengan-Nya, itulah sebenar-benar kebahagiaan. " Aku menyambung sambil menghadiahkannya sekuntum senyuman tanda kasih.

Dia bingkas, berdiri. Bagai ada tenaga baru meresap ke tubuhnya. Dia kelihatan penuh bersemangat. Wajahnya berseri-seri.

"Aku sayang Allah, Allah sayang aku. Terima kasih Allah, untuk segala-galanya." Jeritnya ke arah lautan luas, bagai memberitahu seluruh alam betapa cintanya dia kepada Sang Pencipta.