THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, December 20, 2010

surat untuk kamu


Assalamualaikum wbt....

Untukmu bakal suami ku....

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku masih tertanya-tanya, adakah wajar untuk aku mula mencari sebahagian dari diriku. Bukanlah niat ku ini disertakan dengan godaan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian dari agamanya. Aku mula menyedari bahawa usiaku di awal 20-an ini adalah masa yang sesuai untuk aku mula memikirkan tentang diri mu.

Aku tidak tahu dari mana aku harus mulakan kerana aku tidak terbiasa dengan budaya ini. Budaya yang menuntut pergaulan yang bebas. Tapi apa yang aku tahu, aku harus mula mempertimbangkan tulang rusuk siapakah yang Allah pinjamkan untuk aku. Aku menulis dengan harapan siapa sahaja kamu, maka kau akan mengetahui apa yang aku fikirkan.

Sungguh,
Aku tidak mengenali siapa kamu lantaran Allah rahsiakan siapa kamu dari aku. Rahsia yang Allah simpan ketat untuk menguji tahap keimanan seorang hambanya yakni aku. Walau aku tidak tahu siapa kamu, aku sentiasa berharap pada Allah bahawa kamu adalah kamu. Bakal suamiku yang aku tunggu-tunggu.

Untukmu,
Aku sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan mu.
Agar Allah sentiasa memberikan kamu taufik dan hidayah Nya.
Agar Allah sentiasa mengurniakan kekuatan iman dan islam untukmu.
Aku berdoa agar kau seorang yang sentiasa berada di jalan yang benar.
Aku berdoa agar kau seorang yang dipenuhi dengan sifat bijak memimpin.
Kerana aku sangat memerlukan kamu untuk memimpin aku di laluan ini.
Jadilah lah kamu seorang lelaki yang tabah.
Kerana ketabahanmu nanti bakal menjadi sumber kekuatanku.
Jadilah kamu seorang lelaki yang bertanggungjawab.
Kerana kelak kau bakal memikul aku sebagai tanggungjawabmu.
Jadilah kamu seorang lelaki yang penyayang.
Kerana kau perlu menyayangi aku dan zuriat yang bakal dilahirkan.

Sungguh aku tidak tahu siapa kamu wahai bakal suamiku...

Namun...
Sebelum aku dipertemukan denganmu...
Biarlah aku belajar dan terus belajar....
Selagi Allah kurniakan waktu...
Aku sentiasa berazam untuk menjadi yang terbaik bagi kamu.
Aku sentiasa belajar bermanis muka dengan sesiapa walau dalam keadaan kepenatan,
Kerana aku tahu itu adalah latihan untuk aku agar kelak aku mampu bermanis muka dengan mu walau dalam apa jua keadaan.
Kerana aku takut, aku kelak menderhakai kamu.
Aku masih belajar untuk menjadi matang dalam segala hal,
Kerana aku tahu, kelak kematangan ku adalah penting untuk rumah tangga yang bakal dibina.
Doalah aku supaya menjadi seorang yang penyayang.
Kerana kasih sayang ku bakal dilimpahkan kepada kamu dan zuriat-zuriat kita.
Doalah aku agar aku dipenuhi dengan sifat mendidik.
Kerana aku tidak mahu zuriat-zuriat kita kelak ketandusan ilmu, adab dan pekerti.
Doalah aku agar aku sentiasa sabar menempuhi ujian.
Kerana kesabaran itu diperlukan untuk ujian hidup bersamamu.
Aku takut kiranya aku gagal menjadi penyejuk matamu.

Buatmu...
Meskipun aku masih tidak tahu siapakah gerangan kamu...
Aku sangat berharap agar kita bertemu dalam keadaan Allah dan ibu bapa kita saling meredhai.
Kerana pasti keredhaan itulah membuahkan benih kebahagiaan kelak.
Aku tidak kisah siapa dirimu.
Tapi aku sangat meminta agar kau seorang yang kuat pegangan agama.
Kerana aku takut aku, kamu dan zuriat-zuriat kita bakal dicampakkan ke lembah kebinasaan.

Harapan ku,
Aku bertemu kamu dalam keadaan aku benar-benar bersedia.
Bersedia untuk berkhidmat padamu dengan ikhlas dan redha.
Kerana kamu adalah sumber syurgaku.
Aku berharap agar zuriat-zuriat yang bakal Allah kurniakan melalui pernikahan kita adalah anak-anak yang boleh berbakti di jalan ini.
Aku berharap aku sentiasa matang dan taat dengan kamu kerana kamu adalah urusan akhiratku.
Jemputlah aku bila tiba waktunya.
Aku harap tatkala waktu itu tiba,
Aku dan kamu benar-benar bersedia untuk sesuatu yang sangat berat iaitulah yang dinamakan tanggungjawab.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Cinta tidak cukup untuk kebahagiaan. Tanpa ilmu dan iman pekahwinan ibarat meniti jalan yang rapuh.

  
Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehahkan diriku. Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan ke’soleh’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."

Akhir kalam..
Semoga Allah memakbulkan segala doaku untuk kamu bakal suamiku yang Allah masih rahsiakan siapakah gerangan dirimu.




20 Disember 2010


Saturday, December 18, 2010

begitu bakti kami berikan,tiada sama bonda melahirkan

"......kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan...."


Apakah kita sedar, kita masih punya ibu. Ibu yang terlalu besar pengorbanannya. Sejak dari kita kecil hinggalah dewasa. Ibu yang mana sakitnya kita, dia juga turut merasakan sama kesakitan itu. Ibu yang jatuhnya kita, dia yang bangunkan. Ibu yang mengesat tiap titik air mata kita. Ibu yang bertarung nyawanya melahirkan kita. Ibu yang berkorban untuk kita segala-galanya. Masa, tenaga, kasih sayang, perhatian, wang ringgit dan sebagainya.


Tapi hakikatnya, ramai di antara kita yang sudah "lupa" kita masih punya ibu. Begitu banyak jasa yang telah ditaburkan sehinggakan aku kira kita tidak mampu membalasnya. Aku sedih, sedih melihat ramai antara kita yang tidak mensyukuri kurniaan Allah yang paling berharga. Aku makin sedih apabila kawan ku menceritakan ada anak yang menengking ibunya depan orang ramai gara-gara ibunya membeli tudung yang salah. Ya aku tahu, bunyi agak melucukan. Namun, kawan ku menitiskan air mata melihat kejadian itu. Begitu juga aku yang mendengarnya. Pernah kah kita fikirkan, apa perasaan ibu tua itu ditengking anak sendiri.


Dari kecil....
Siapa yang rela membawa perut menanggung beratnya kandungan??
Siapa yang rela bertarung nyawa melahirkan seorang manusia??
Siapa yang rela berkongsi maknan dengan makhluk lain melalui air susunya??
Siapa yang rela bersengkang mata menjaga kita??
Siapa yang.....
Siapa yang.....
Tidak mampu lagi untuk aku teruskan kerana dalam perhitungan ku, terlalu banyak jasa yang diberikan...


Aku harap kalian hargailah apa yang ada selagi ia masih bernyawa. Berbaktilah selagi termampu. Berlemah lembutlah dalam tutur kata. Bersopan santunlah dalam tingkah laku. Kerana di situlah letaknya syurga kita.


Buat mak...
Pohon ampun dan maaf segala perbuatan, tutur kata yang mengguris hati mak...
Redhailah setiap apa yang anakmu ini lakukan...
Maaf andai ada perbuatan yang tanpa disedari membelakangi mak...
Halalkan lah air susu yang diberikan...
Pohon doakanlah anakmu yang masih belajar ini...
Yang masih belum tahu erti kehidupan...
Kerana tanpa doamu, siapalah diri ini...
Akhir kata....
Terima kasih kerana membesarkan diri ini...
Dari kecik,
Sampai masuk tadika,
Sampai masuk sekolah rendah,
Sampai masuk sekolah menengah,
Sampai masuk matrik,
Sampai masuk universiti....
Sesungguhnya....
Jasamu tak dapat dibalas....


TERIMA KASIH UNTUK SEGALANYA....


Ya Allah...
Ampunkanlah doa kedua ibu bapaku,
Murahkanlah rezeki mereka,
Panjangkanlah umur mereka,
Berkatilah hidup mereka di dunia dan akhirat,
Kasihanilah mereka Ya Allah seperti mana mereka mengasihani aku ketika aku masih kecil...








18 DISEMBER 2010
21: 59

Tuesday, December 14, 2010

Munajat...Hatiku Diuji...

Ya Allah...
Aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhiratku...
Mudah-mudahan keluh-kesah, resah-gelisah aku menerima ketentuan Mu ini...
Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya aku sebagai hamba Mu yang berdosa...
Semoga kesedihan dan kebimbangan aku dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju Mu di jalan mujahadah...


Aku lemah Ya Allah...
Namun aku tetap yakin Kau menguji aku ini dengan maksud yang baik...
Kau tidak akan menimpa kesusahan di luar kemampuan aku menanggungya...


Aku berdoa Ya Allah...
Agar ujian ini menjadi tebusan dosa-dosa aku yang lalu, kini dan akan datang...


Sesungguhnynya aku ini hamba Ya Allah...
Ujian inilah yang menusuk ke hati...
Lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa aku ini hakikatnya seorang hamba yang hina...


Syukur Ya Allah...
Kerana kau anugerahkan rasa termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan...
Jika tidak kerana ini, aku akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasa hakikat cinta Mu yang sebenar...
Cebisan cinta suci dn sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati aku yang semakin mati...


AMIN YA RABB





14 DISEMBER 2010
2:11 AM

di mana bumi ini dipijak, di situ islam akan dijunjung...

 Apakah pernah terlintas di fikiran kita tentang nikmat terbesar yang Allah kurniakan?
Ya...nikmat islam dan iman ini...
Apakah pernah kita syukuri akan hadirnya kedua-dua nikmat ini dalam kehidupan kita...


Sahabat...


Sesungguhnya sebagai umat islam, aku kira, sangat wajar untuk kita bersyukur kerana kita dilahirkan dalam keadaan islam dan masih dikurniakan iman. Lahirnya kita di dunia, kita sudah diperkenalkan dengan Islam melalui azan dan iqamah yang dibisikkan ke telinga. Kita sudah ditarbiyah dengan bi'ah Islam sedari kecil. Hidup dalam lingkungan Islam. Sedarkah kita, kita sebenarnya sudah dipilih oleh Allah untuk dilahirkan dalam keadaan Islam tanpa kita perlu bertungkus-lumus untuk mencari Islam itu sendiri.


Wajar untuk kita berasa sangat bersyukur. Sangat-sangat bersyukur. Namun adakah kita benar-benar menzahirkan rasa syukur kita. Syukur dengan nikmat yang tiada taranya. Mungkin rasa syukur kita hanya sekadar ungkapan di bibir. Mudah untuk dilafazkan dan dibicarakan. Tapi adakah kita mengamalkan Islam itu dengan Islam yang sebenar-benarnya. Adakah kita menzahirkan dengan hati yang yakin dan percaya, lidah yang berkata-kata, akal yang membenarkannya dan anggota badan yang menggerakannya. Adakah Islam yang kononya disyukuri itu diamalkan dalam kehidupan seharian.


Islam itu hanya pada nama, tetapi di mana kepercayaan kita???????


Jawab.....jawab persoalan ku ini...


Kalian tidak mampu menjawab, kerana kalian sendiri belum yakin dan percaya....
Begitu juga aku...
Malu untuk terus menulis, lantaran begitu banyak hak Allah yang aku abaikan...
Terlalu banyak yang aku lalaikan...
Terlalu banyak yang tak ditunaikan...
Dewasa ini aku melihat...
Islam itu kian menghilang..
Sedikit demi sedikit...


Bermula dari yang tua...
Ibu bapa...
Apa yang kamu ajarkan pada anakmu...
Ya...kamu mengislamkan mereka sejak mereka dilahirkan dengan Islam keturunanmu...
Namun,
Adakah kamu menunaikan hak mereka sebagai anak??.
Islam apakah yang kamu turunkan kepada mereka...
Itu tanggungjawab mu wahai ibu dan bapa...
Didiklah anak-anakmu dengan Islam yang sebenar-benarnya...
Kerana kamu kelak akan disoal oleh Allah Azzawajala...
Jalankanlah amanah dan tanggungjawab Allah dengan sebaik-baiknya...
Tidak mahu kah engkau melihat anak-anakmu menjadi anak yang soleh...
Di mana daripadanya akan mengali doa buat mu...


Beralih kepada yang muda..
Remaja..
Pada saat dan ketika ini di manakah engkau berada...
Aku sedih...
Sedih melihat pakaian anak-anak remaja...
Ketat, jarang, pendek dan segala macam lagi...
Kita tahu salah, tapi kenapa kita masih tegar melakukannya...
Tidak takutkah kalian dengan perintah Allah...
Aku juga kecewa...
Kecewa dengan sikap mereka yang bergelar anak muda..
Masalah sosial yang bagai tiada penghujungnya...
Pergaulan yang makin "dihalalkan" oleh mereka...
Seolah-olah tiada apa yang salah...
Bertepuk tampar sesama sendiri...
Perempuan begitu mudah di ajak "bersama"...
Apa tiada harga dan nilai diri mu wahai wanita...
Mudah..
Terlalu mudah..
Kau biarkan mereka memperalatkan dirimu...
Yang lelaki dengan masalahnya tersendiri...
Konon nya hidup hanya sekali...


Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui 
 (29 : 64)


 Dunia ini hanya sementara. Gunakanlah gelanggang dunia ini untuk pertempurab akhirat. Gunakanlah pertimbangan akal. Bergeraklah dalam Islam yang benar. Amalkanlah dengan sesungguh-sungguhnya. Kita dilahirkan dengan tujuan beribadah.
Ya Allah...
Ikhlaskanlah setiap amalan kami kerana Mu...
Jadikanlah setiap perbuatan kami berlandaskan syarak..
Bimbinglah kami Ya Allah...
Hanya keredhaan Mu yang kami harapkan..

Sahabatlah...
Ingatlah...
Kita ini Islam..
Kita agen islam..
Segala perbuatan kita menggambarkan islam...

DAN INGATLAH....
DI MANA BUMI INI DIPIJAK...DI SITULAH ISLAM AKAN DIJUNJUNG...


Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jala-jalan kami. Dan sungguh Allah berserta orag-orang yang berbuat baik
(29 : 69)






14 DISEMBER 2010
1:20 am

Sunday, December 5, 2010

jodoh jgn terlalu dirisaukan..tiba masa ia akan datang menjemput..




Jodoh dan perkahwinan itu adalah termasuk di dalam ketentuan Ilahi. Mengapa kita mahu bersedih dan terlalu risau akan persoalan ini?
 
Aku suka mengingatkan anda di luar sana bahawa perkahwinan itu adalah kunci ke syurga bagi mereka yang mematlamatkan cinta itu kerana Allah. Bagi yang belum mengerti tujuan apa mereka berkahwin, apa pula tanggungjawab mereka sebagai suami isteri yang sepatutnya, maka itu bukanlah tiket untuk mendapat kesempurnaan hikmah kebaikan daripada alam perkahwinan.

Perkahwinan itu nikmat, namun alam perkahwinan ini juga jangan disalah sangka. Terlalu banyak perkara yang wajib difikir dan dilaksanakan setelah memegang tanggungjawab sebagai seorang isteri mahu pun suami, apatah lagi bagi yang sudah bergelar ibu dan bapa.
Untuk adik-adik , abang dan kakak di luar sana, tidak lupa juga untuk diri yang hina ini, jodoh itu juga termasuk dalam ketentuan dariNya. Ya, kita berusaha dan Dia menentukan. Maka, sabarlah dalam meniti hidup.
Bukankah wanita yang elok dan baik itu adalah untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya.  Jadi, bersabarlah menanti jodoh. 

Biar lewat sedikit menemui  teman hidup, asal ianya itu permata yang benar-benar yang dicari, putera yang sememangnya didamba peribadinya, beriman, bertakwa dan bijak membimbing keluarga.

Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kita, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kita sayang, tak menjadi masalah. Tapi kalau dapat yang kita tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kita ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kita sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kita sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kita. Alangkah bertuahnya kita kalau kita mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.

Peringatan untuk diriku, aku seringkali tergopoh-gopoh akan soal ini. Tidak apa yang perlu dikejarkan, jika memang namanya tertulis di luh mahfuz untuk kita, maka dia pasti akan menjadi milik kita. Janji Allah itu pasti. Dan yakinlah bahawa TULANG RUSUK TAK KAN TERTUKAR.
Dan perlu untuk kita ingat, cintailah dan bencilah sesuatu itu kerana Allah. Sesiapa sahaja yang mencintai kita itu hakikatnya Allah yang menjadikannya dan Allah jua yang menitipkan rasa cinta itu ke dalam dirinya untuk mencintai kita. Maka wajarlah kita mencintai sesuatu atau jodoh kita kerana Allah.

Metaforanya cukup mudah. Apakah pantas kita mencintai hadiah lebih dari si pemberi hadiah. Untuk makhluk yang telah berkahwin, akan berkahwin, sedang berkahwin, merancang untuk berkahwin atau apa-apa sahaja dan yang pasti tidak lupa untuk diri sendiri, cintailah apa-apa sahaja kerana Allah. 

Aku juga manusia biasa, yang sedang melatih diriku untuk mencintai sesuatu kerana Allah. Aku sedang mendidik diriku untuk belajar redha dan ikhlas dalam setiap apa yang aku lakukan. Bukannya apa, supaya tatkala ditakdirkan aku kehilangan apa yang aku cintai, maka aku sudah bersedia dan tidak kecewa.


Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu.
Jika engkau menghilangkan agamamu, 
Nescaya hilanglah cintaku padamu.



UNTUK ADIK-ADIK REMAJA DI SANA,
YA KAMU DAN JUGA DIRIKU.....

Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masa ia akan datang menjemput. Jika kamu ingin yang soleh, maka tugas mu haruslah mensolehahkan dirimu dahulu. Kata sahabatku, ketinggian peribadi bakal jodohmu sebenarnya ditentukan oleh ketinggian peribadimu. Jelaslah, kita dahulu perlu memperbetulkan diri kita untuk sesuatu yang baik.

Mungkin terkadang kamu mencintai seseorang dan sangat berharap beliau adalah jodohmu. Namun diakhirnya dia bukan milikmu. Janganlah bersedih, sebaliknya bergembiralah. Jangan kamu katakan Allah tidak memakbulkan doamu, tetapi beranggapanlah bahawa Allah menangguhkan seketika doa mu. Ditangguhkan doamu untuk diberikan sesuatu yang lebih baik. Maka, bersabarlah. Anggaplah Allah akan memberimu sebuah hadiah yang sgt baik, cantik dan berkualiti. Dan anggaplah jua bahawa Allah sedang mengatur sebuah kejutan untuk mu. Apabila kita benar-benar bersabar, tika masa Allah memberikan hadiah itu, kita akan merasakan nikmat manisnya sabar dan redha.

BERDOALAH DAN TERUS BERDOA
5 Disember 2010
12:18

p/s : post ni untuk adik-adik junior, seorang kawan sebatch dan anak saudaraku yang menghadapi masalah   "jodoh" dan tidak lupa juga untuk diri sendiri sebagai bekalan hari ini dan masa depan....=)




Saturday, December 4, 2010

... aku hanya punya kekuatan doa ...



Dan Tuhanmu berfirman "Berdoalah kepada Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina"
(40:60)

Manusia sering kali lalai. Terkadang ada juga yang tahu namun sengaja buat-buat tak tahu. Aku juga begitu. Hamba yang acap kali lalai, sering lalai. Aku takut andai aku terus hanyut dalam kelalaian ini. Kelalaian dunia yang semakin sampai ke penghujungnya. Sampai bila aku harus begini. Hati terdetik untuk mencoret apa yang terbuku di dada sejak akhir-akhir ini.

Tapi bukan soalan lalai yang ingin aku bicarakan pada hari ini. Namun masih punya hubung kait dengan lalai. Hari ini aku lebih senang mengajak kamu memikirkan bersama "sejauh mana keyakinan kamu kepada pencipta mu".
Dunia ini dengan fitrahnya tersendiri. Penuh dengan ranjau dan onak duri. Jika tiada masalah, maka bukan dunia lah namanya. Namun, ramai yang tersasar termasuk aku. Setiap kali punya masalah, kepada siapa kita meminta. Kepada siapa kita perdengarkan masalah kita. Lazimnya, kita akan mencari manusia sebagai bahu untuk menangis. Meminta dia untuk mendengar dan jika mampu menyelesaikan masalah kita. Namun, adakah manusia mampu untuk berbuat apa-apa.

Manusia.....

Mengapa kita sering memohon meminta masalah ini dikongsi bersama yang lain..
Mengapa kita tidak terus merintih kepada Pencipta kita dalam setiap bait-bait doa..
Mengapa tidak masalah itu diluahkan kepada Yang Lebih Tahu dalam setiap lewat sujud kita..
Mengapa tidak kepada Allah kita adukan dan mohon penyelesaian..
Mengapa??
Mengapa??
Mengapa??
Jawapan nya kerana mungkin kita masih belum yakin dengan kekuatan doa..
Aku menulis hari ini kerana aku juga dilanda masalah yang sama..
Ada ketikanya aku terlalu berharap pada makhluk..
Sehinggakan aku lupa pada pengharapan yang patut aku sandarkan kepada penciptaku..
 KEMAMPUAN MANUSIA ITU TERBATAS. SEDANGKAN ALLAH TIDAK ADA ISTILAH TIDAK MAMPU BAGINYA.

Kamu dan aku..
marilah sama-sama kita kembali kepada Tuhan kita..
berdoalah dengan sepenuh hati..
bukankah Allah yang menciptakan kita..
maka rasional nya Allah pasti lebih tahu yang terbaik untuk kita..

Oleh itu, kamu dan diriku...
berdoalah dengan sepenuh hati kepada Allah..
berserah sepenuhnya kepada Allah..
percayalah kepada kekuatan doa..
Allah itu Maha Mendengar..
Maka adukanlah setiap apa yang ingin dipinta dalam doa kita..
Percaya lah pada kekuatan doa, kerana Allah suka hambanya yang meminta-minta..

Ingatlah kamu dan diriku, 
terkadang apa yang kita doakan mungkin Allah tidak akan makbulkan..
JANGAN DAN JANGAN sekali-kali kamu salahkan Allah sehinggakan berkurangnya keyakinan mu kepada penciptamu..
Allah itu lebih mengetahui...
DIA pasti akan mengurniakan apa yang terbaik untuk mu..
dan jika tidak dimakbulkan permintaan mu,
ternyata apa yang kamu pinta itu tidak baik bagimu..

Jangan terus bersedih...
tetapi teruslah berdoa..
kerana DOA ITU KEKUATAN SEORANG MUKMIN...
dan aku sangat percaya pada kekuatan doa...
aku tahu Allah mendengar setiap apa yang aku pinta..
aku tahu Allah pasti akan beri yang terbaik..
tadah la kedua tapak tangan kita..
mohonlah dengan sepenuh hati..
Allah ada di situ untuk kita semua..

Ya Allah..Aku serahkan segalanya pada Mu..Aku sandarkan segala harapan ku pada Mu..Perkenankanlah doa hamba Mu Ya Allah..

pesan seorang sahabatku :

Allah berfirman dalam hadith qudsinya, maksudnya :
Aku berada pada sangkaan hamba-hamba Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati Ku. Jika dia ingat kepada Ku, maka Aku mengingatinya dalam diri Ku. Jika dia ingat kepada Ku dalam kelompok, maka Aku mengingatinya dalam kelompok orang yang lebih baik dari mereka. Jika dia mendekat kepada Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil. (Riwayat Al-Bukhari no. 6970)

Marilah sama-sama kita terus berdoa, kerana hanya pada Allah kita layak meminta..PERCAYALAH..AKU TIDAK BERDUSTA..=)


4 DISEMBER 2010
14:57