THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, January 8, 2011

cukupkah bekal ku menghadap Yang Satu

  
 Kematian itu seumpama pintu, setiap orang pasti akan melaluinya


Pagi ini, aku dikejutkan oleh satu pesanan ringkas yang aku terima dari seorang kawanku lebih kurang jam 3.10 minit pagi. Akibat selalu men"silent"kan telefon sebelum tidor malam, makanya pesanan itu aku baca jam 3.46 minit pagi. Agak terkejut dengan kandungan pesanan ringkas yang aku terima.

Pak cik aku kat jitra meninggal, taklimat ni ambik attendance ke dak. Aku nak pi jitra, aku tak tau nak pi mana satu ni. Kalau aku tak pi taklimat, aku mintak tolong hang ambik apa-apa yang patut eh....


Sejujurnya, pesanan itu cukup memeranjatkan. Aku belum pernah menerima berita kematian terutamanya melibatkan kaum keluarga. Walaupun bapak saudara kawanku yang kembali ke rahmatullah, aku turut tersentak. Kawanku pernah juga ceritakan perihal bapa saudaranya yang satu ini yang kebetulan sekampung dengan ku. Aku tanya juga kawan aku, meninggal sakit atau apa-apa kah bapa saudarnya. Katanya bapa saudaranya itu sihat-sihat saja.

Berita itu cukup membuatkan aku terfikir sejenak. Bila-bila masa sahaja kita boleh di panggil Yang Esa untuk menghadap Nya. Aku terfikir, andai saat ini aku di jemput Tuhan, pasti rapuh la aku di akhirat kelak. Sesungguhnya, aku belum bersedia satu apa pun untuk menghadap Allah. Amalan aku seharian tak cukup untuk membela aku di hadapan Tuhan. Solatku belum cukup khusyuk. Ibadahku belum cukup ikhlas. Dosa-dosa ku bertimbun. Aku belum mampu menjadi anak yang soleh. Aku belum mampu menjadi kakak yang baik untuk adik-adik ku. Aku belum mampu menjadi sahabat yang bagus. Dan yang paling aku takut, aku belum mampu menjadi hamba yang sentiasa takut dan taat pada Tuhan yang memegang nyawaku.

Jika terus difikirkan, aku takut untuk menghadapi hari kematianku lantaran belum cukup aku persiapkan diri aku untuk bertemu Allah. Banyak perkara yang aku lakukan dalam kehidupan harianku yang tidak langsung memberi imbalan yang baik untuk akhirat ku. Urusan amal ibadatku, masih banyak yang lompang. Perlu aku kira untuk aku tampung dan baiki kelompangan yang ada. Sangat perlu. Andai pada usia 22 tahun aku meninggalkan dunia ini, jika ditanya, apa yang telah aku baktikan di jalan Allah, jawapannya hampir tiada. Kosong. Sungguh aku malu, dah besar panjang, tapi apa yang aku perbuat sepanjang usia dan tempoh waktu yang Allah kurniakan. Andai pada waktu ini aku dijemput, takutnya aku. Sudah pasti neraka jahanam tempat aku diami. Aku takut, ngeri dan sesak memikirkan nya.

Aku berdoa....

Agar Allah sentiasa pegang hatiku supaya sentiasa dekat dengan Nya. Agar setiap amalan, perlakuan dan tingkah laku serta sikap ku berlandaskan apa yang Islam gariskan. Allah itu Maha Membolak balikan hati, janganlah Engkau palingkan hatiku setelah Engkau letakkan aku di jalan Mu. Doa yang tak pernah aku lupakan dalam tiap solatku. Namun, masih ada langkah-langkah ku yang tersasar. Aku berharap, andai takdir Allah aku di panggil kembali, aku mati dalam keadaan beriman, di tempat yang baik, dalam suasana yang baik. Aku tak dapat bayangkan andai aku pergi dalam keadaan yang dipenuhi kemungkaran. Tak perlu aku terangkan, pasti kalian sendiri mampu membayangkannya.

Aku turut berdoa....

Agar Allah panjangkan umur ibuku. Sungguh, aku sangat-sangat memerlukan ibuku. Kiranya Allah panggil ibuku pada saat ini, aku pasti kehilangan punca. Satu-satunya tempat aku bergantung di dunia ini. Aku belum bersedia walau sedikit untuk kehilangan ibu ku. Aku belum cukup matang untuk itu. Sudah lah dosa yang bertimbun aku lakukan saban hari. Takut andai ibuku mati dalam keadaan aku derhaka padanya. Minta dijauhkan Ya Allah.
 

 إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali kerana tiga hal,
1. Sedekah jariah
2. Ilmu yang bermanfaat, atau
3. Anak soleh yang mendoakannya 
HR Muslim

Moganya, aku mampu menjadi anak yang solehah, yang sentiasa diberikan kesedaran untuk sentiasa aku alirkan doa untuk kedua ibu bapa ku. Dan diharapkan juga, dari rahimku akan lahirlah anak-anak yang soleh, yang mampu berbakti di agama Allah ini. Doakan aku supaya tabah untuk aku menuntut ilmu yang manfaatnya sehingga ke liang lahad. Dan janganlah kedekut wahai diri untuk terus bersedekah dan tetap berada di jalan ini. 


p/s : post yang lebih kepada luahan hati. tidak ada yang menarik. maaf atas kekurangan.

0 comments: