THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, December 20, 2010

surat untuk kamu


Assalamualaikum wbt....

Untukmu bakal suami ku....

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku masih tertanya-tanya, adakah wajar untuk aku mula mencari sebahagian dari diriku. Bukanlah niat ku ini disertakan dengan godaan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian dari agamanya. Aku mula menyedari bahawa usiaku di awal 20-an ini adalah masa yang sesuai untuk aku mula memikirkan tentang diri mu.

Aku tidak tahu dari mana aku harus mulakan kerana aku tidak terbiasa dengan budaya ini. Budaya yang menuntut pergaulan yang bebas. Tapi apa yang aku tahu, aku harus mula mempertimbangkan tulang rusuk siapakah yang Allah pinjamkan untuk aku. Aku menulis dengan harapan siapa sahaja kamu, maka kau akan mengetahui apa yang aku fikirkan.

Sungguh,
Aku tidak mengenali siapa kamu lantaran Allah rahsiakan siapa kamu dari aku. Rahsia yang Allah simpan ketat untuk menguji tahap keimanan seorang hambanya yakni aku. Walau aku tidak tahu siapa kamu, aku sentiasa berharap pada Allah bahawa kamu adalah kamu. Bakal suamiku yang aku tunggu-tunggu.

Untukmu,
Aku sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan mu.
Agar Allah sentiasa memberikan kamu taufik dan hidayah Nya.
Agar Allah sentiasa mengurniakan kekuatan iman dan islam untukmu.
Aku berdoa agar kau seorang yang sentiasa berada di jalan yang benar.
Aku berdoa agar kau seorang yang dipenuhi dengan sifat bijak memimpin.
Kerana aku sangat memerlukan kamu untuk memimpin aku di laluan ini.
Jadilah lah kamu seorang lelaki yang tabah.
Kerana ketabahanmu nanti bakal menjadi sumber kekuatanku.
Jadilah kamu seorang lelaki yang bertanggungjawab.
Kerana kelak kau bakal memikul aku sebagai tanggungjawabmu.
Jadilah kamu seorang lelaki yang penyayang.
Kerana kau perlu menyayangi aku dan zuriat yang bakal dilahirkan.

Sungguh aku tidak tahu siapa kamu wahai bakal suamiku...

Namun...
Sebelum aku dipertemukan denganmu...
Biarlah aku belajar dan terus belajar....
Selagi Allah kurniakan waktu...
Aku sentiasa berazam untuk menjadi yang terbaik bagi kamu.
Aku sentiasa belajar bermanis muka dengan sesiapa walau dalam keadaan kepenatan,
Kerana aku tahu itu adalah latihan untuk aku agar kelak aku mampu bermanis muka dengan mu walau dalam apa jua keadaan.
Kerana aku takut, aku kelak menderhakai kamu.
Aku masih belajar untuk menjadi matang dalam segala hal,
Kerana aku tahu, kelak kematangan ku adalah penting untuk rumah tangga yang bakal dibina.
Doalah aku supaya menjadi seorang yang penyayang.
Kerana kasih sayang ku bakal dilimpahkan kepada kamu dan zuriat-zuriat kita.
Doalah aku agar aku dipenuhi dengan sifat mendidik.
Kerana aku tidak mahu zuriat-zuriat kita kelak ketandusan ilmu, adab dan pekerti.
Doalah aku agar aku sentiasa sabar menempuhi ujian.
Kerana kesabaran itu diperlukan untuk ujian hidup bersamamu.
Aku takut kiranya aku gagal menjadi penyejuk matamu.

Buatmu...
Meskipun aku masih tidak tahu siapakah gerangan kamu...
Aku sangat berharap agar kita bertemu dalam keadaan Allah dan ibu bapa kita saling meredhai.
Kerana pasti keredhaan itulah membuahkan benih kebahagiaan kelak.
Aku tidak kisah siapa dirimu.
Tapi aku sangat meminta agar kau seorang yang kuat pegangan agama.
Kerana aku takut aku, kamu dan zuriat-zuriat kita bakal dicampakkan ke lembah kebinasaan.

Harapan ku,
Aku bertemu kamu dalam keadaan aku benar-benar bersedia.
Bersedia untuk berkhidmat padamu dengan ikhlas dan redha.
Kerana kamu adalah sumber syurgaku.
Aku berharap agar zuriat-zuriat yang bakal Allah kurniakan melalui pernikahan kita adalah anak-anak yang boleh berbakti di jalan ini.
Aku berharap aku sentiasa matang dan taat dengan kamu kerana kamu adalah urusan akhiratku.
Jemputlah aku bila tiba waktunya.
Aku harap tatkala waktu itu tiba,
Aku dan kamu benar-benar bersedia untuk sesuatu yang sangat berat iaitulah yang dinamakan tanggungjawab.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Cinta tidak cukup untuk kebahagiaan. Tanpa ilmu dan iman pekahwinan ibarat meniti jalan yang rapuh.

  
Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehahkan diriku. Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan ke’soleh’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."

Akhir kalam..
Semoga Allah memakbulkan segala doaku untuk kamu bakal suamiku yang Allah masih rahsiakan siapakah gerangan dirimu.




20 Disember 2010


0 comments: